Sunday, January 15, 2012

Berhenti Merokok - Apakah Peluang Anda untuk Berjaya?



Sekiranya anda seorang perokok, sama ada perokok tegar atau suka-suka, tentu soalan ini sering bermain di fikiran anda, terutamanya setelah tabiat ini telah sebati dalam hidup anda dan adakala menjadi sumber motivasi atau inspirasi dalam hidup anda.

Tentu anda telah berdepan dengan pelbagai gimik dan taktik untuk menakutkan anda atau untuk memujuk anda secara berhemah supaya meninggalkan tabiat tersebut.

Terdapat pelbagai cara digunakan di dalam kempen anti-rokok yang digunakan di seluruh dunia. Antaranya adalah:

1. Memaparkan gambar-gambar pesakit kronik yang diakibatkan oleh tabiat merokok.
Ini tentu telah biasa anda lihat (dan telah lali) pada kotak rokok, di dalam akhbar, televisyen, papan tanda atau mungkin pada dinding bas.

2. Memberikan statistik-statistik kematian berkaitan dengan tabiat merokok sama ada di negara kita atau seluruh dunia

3. Memberikan alternatif kepada tabiat tersebut, supaya anda dapat meninggalkan ketagihan kepada nikotin di dalam tembakau

4. Mengadakan kempen secara global untuk menangani ketagihan kepada tabiat ini
Ini termasuk pengisytiharan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei setiap tahun

5. Menggunakan pendekatan bijak secara "reverse psychology" atau taktik lain bagi membolehkan perokok melihat tabiat mereka dari sudut yang berbeza. Ini termasuk lukisan atau gambar mural yang kreatif peperti yang dihasilkan oleh Everest Brand Solutions dan the Cancer Patients Aid Association

Sama ada kempen-kempen ini adalah sekadar gimik atau taktik, kita tidak dapat menafikan bahawa kesan-kesan buruk akibat merokok sememangnya wujud walaupun betapa sebatinya kita dengan tabiat ini. Tambahan pula laporan terbaru menunjukkan terdapat kategori baru dalam jenis-jenis perokok iaitu "third hand smoker" atau perokok ketiga yang mendapat kesan-kesan buruk dari rokok bukan secara kaitan terus dengan asap atau rokok itu sendiri. Perokok ketiga ini mendapat kesan merokok daripada objek-objek yang berkaitan dengan perokok seperti rambut, pakaian, permaidani atau sofa. Laporan yang asalnya bertujuan mengkaji risiko ke atas bayi dan kanak-kanak ini, diterbitkan di dalam Jurnal Pediatrik Amerika Syarikat.


Mural di siling kawasan merokok berupa pandangan dari bawah liang lahad semasa upacara pengkebumian ini adalah salah satu gimik bijak kempen anti-rokok yang dihasilkan oleh Everest Brand Solutions dan the Cancer Patients Aid Association. Namun begitu, kejayaannya tetap bergantung kepada setiap individu perokok itu sendiri



Kita tentu telah lali dengan pelbagai mesej berupa 'ancaman' akibat tabiat merokok, sama ada kesan dari segi kesihatan terhadap diri anda atau mereka yang berada di sekeliling anda. Gambar-gambar visual eksplisit yang menunjukkan penyakit akibat merokok berupa kanser atau pelbagai penyakit lain mungkin telah biasa anda lihat di kotak rokok, televisyen, dada akhbar, papan tanda atau di dinding bas. Mungkin juga anda pernah menanamkan cita-cita untuk berhenti merokok, tetapi apabila anda bersama yang mereka yang juga merupakan perokok seperti anda, cita-cita anda itu lenyap bersama kepulan asap rokok yang anda hembuskan.

Persoalannya adakah perlu anda berhenti merokok, terutamanya jika anda hanya menghisap beberapa batang sehari? Dan sekiranya anda telah nekad untuk berhenti merokok, apakah peluang anda untuk berjaya berhenti dari tabiat ini terus menerus, dan mungkin hingga ke akhir hayat anda yang masih tinggal?

Pelbagai kempen dan saranan telah diadakan di peringkat negara ataupun global bagi 'memujuk' para perokok untuk meninggalkan tabiat tersebut dan salah satu daripadanya adalah pengisytiharan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei setiap tahun. Pada hari tersebut pelbagai maklumat dan nasihat boleh anda dapati di televisyen, akhbar dan majalah berkaitan dengan cara-cara nutuk meninggalkan tabiat tersebut. Namun begitu, keputusan akhir adalah di tangan anda sama ada anda betul-betul bersedia untuk komitmen memberhetikan aktiviti merokok dalam hidup anda.




Pelbagai statistik tentang merokok:
1. Reaksi terhadap amaran bergambar tentang bahaya merokok
- Di Kanada, 58% daripada perokok berkata bahawa ianya membuat mereka terfikir tentang bahaya merokok.
- Di Brazil, 67% daripada perokok ingin berhenti apabila melihat amaran tersebut
- Di Singapura, 28% daripada perokok berkata amaran tersebut membuatkan mereka kurang merokok dan satu perenam daripada perokok berkata ianya membuat mereka mengelak daripada merokok di hadapan anak-anak.
- Di Thailand, 53% daripada perokok memikirkan risiko ke atas kesihatan mereka dengan adanya amaran tersebut

2. Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) III 2006 menunjukkan 21.5% golongan dewasa di Malaysia adalah perokok. Tinjauan ini juga mendapati 2.5% golongan wanita pernah merokok, dimana hanya 0.9% sahaja yang mampu berhenti merokok. Di kalangan golongan lelaki pula 57.6% golongan lelaki pernah merokok dan 11% berjaya berhenti daripada tabiat tersebut.

3. Setiap tahun lebih 5 juta nyawa di seluruh dunia terkorban akibat merokok dan dijangka akan meningkat kepada 10 juta setahun pada tahun 2020. Daripada jumlah itu, 50% adalah mereka yang berada di dalam pertengahan umur (35-69 tahun)

4. Sebanyak RM8.6 juta sehari digunakan untuk membeli rokok, iaitu 33 juta batang rokok sehari dengan anggaran harga 26 sen sebatang.

5. Di Malaysia terdapat 2.73 juta perokok dan daripada jumlah ini 60.9% adalah berbangsa melayu. Majoriti perokok ini adalah golongan dewasa dan sebanyak 103,630 perokok remaja

6. Pakar runding kardiologi di Institut Jantung Negara, Dr Aizai Azan Rahim memberitahu 30% masalah jantung koronari di negara kita adalah berpunca daripada merokok. Menurut beliau lagi, setiap tahun 10,000 orang yang berhenti merokok adalah kerana kematian, iaitu merokok hingga ke akhir hayat mereka.

7. Dalam tahun 2006, dicatitkan sebanyak 31 ribu kemasukan pesakit ke dalam 773 unit rawatan rapi di Malaysia, dan daripada jumlah itu 12.5 ribu kemasukan adalah dikaitkan dengan "acute coronary syndrome" (ACS) iaitu masalah kerana kekurangan aliran darah ke jantung. Masalah ACS ini sering dikaitkan dengan "third hand smoker"iaitu perokok ketiga iaitu mereka yang terdedah kepada risiko toksin pada rokok bukan secara terus dari asap atau rokok, tetapi dari kesan-kesan yang tinggal pada rambut, pakaian, permaidani atau perabot berkaitan dengan perokok. Risiko ini juga terdedah kepada bayi dan kanak-kanak sebagaimana yang diterbitkan dalam Jurnal Pediatrik Amerika Syarikat.

Kandungan rokok:

Menurut BBC News, terdapat 600 bahan toksik di dalam setiap batang rokok.
Antaranya adalah:

1. Acetone, yang digunakan untuk menanggalkan cat

2. Ammonia yang digunakan dalan pencuci tandas

3. Butane sejenis bahanapi ringan

4. Beta-naphthyl methylether yang digunakan di dalam ubat gegat (mothball)

5. Hydrogen cyanide yang digunakan di dalam bilik gas beracun sebagai hukuman kepada pesalah yang dijatuhkan hukuman mati

6. Methanol sejenis bahanapi untuk roket

7. Arsenik dan karbon monoksida, gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan

8. Nikotin, unsur yang boleh mangakibatkan ketagihan

Pelbagai saranan untuk memastikan anda berjaya berhenti merokok:

1. Gantikan tabiat anda, terutamanya apabila anda terasa ingin mula merokok semula, dengan mengunyah gula-gula getah (chewing gum) atau buah-buahan. Pastikan anda menggunakan alternatif yang tidak mempunyai kandungan gula yang tinggi, kerana dikhuatiri anda akan terdedah kepada risiko diabetes.

2. Banyak minum air kosong, dan elakkan dari minuman berkafein.

3. Alih perhatian anda dengan aktiviti yang sihat seperti bersenam, berjoging, merentas hutan, bersukan, meditasi

4. Mandi dengan kerap untuk menyegarkan badan anda daripada keinginan untuk merokok.

5. Jauhi godaan berbentuk berada di tempat-tempat yang dibenarkan merokok atau berada bersama mereka yang sedang merokok.

6. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sebanyak 3 kali setiap minggu

7. Dapatkan maklumat dan bantuan untuk berhenti merokok di Infoline Berhenti Merokok. Talian ini dibuka setiap Isnin hingga Jumaat antara 8 pagi hingga 5 petang. Nombor taliannya adalah 03-88834400 atau layari laman-laman Infosihat dan MyHealth untuk maklumat lanjut

8. Dapatkan sokongan dari akli keluarga, rakan-rakan dan mereka yang berada di sekeliling untuk menjayakan cita-cita anda

9. Terima hakikat bahawa kesihatan anda dan mereka yang berada di sekeliling anda adalah lebih utama daripada segala 'faedah' yang anda akan dapat melalui merokok.

10. Anda boleh menunggu sehingga anda telah disahkan mengidap penyakit tertentu akibat merokok, tetapi pada masa itu anda mungkin telah terlambat kerana ia tidak dapat dipulihkan lagi. Anda boleh kaji sendiri tahap risiko yang anda hadapi dengan mencuba anggaran pengiraan risiko akibat merokok.

11. Cuba pelbagai alternatif yang mungkin bersesuaian untuk anda seperti Terapi penggantian nikotin yang berbentuk gula-gula getah, gula-gula hisap, tampalan (patch), alat semburan atau alat sedut. Terdapat juga ubat berbentuk pil tanpa nikotin, tetapi anda perlu mendapat nasihat doktor sebelum menggunakannya.




Sumber: Pelbagai artikel berkaitan Kempen Hari Tanpa Tembakau Sedunia di dalam Utusan Malaysia, Harian Metro dan Berita Minggu

No comments:

Post a Comment