Sunday, January 15, 2012

Dunia Pengkaryaan dan Genre



Dunia penulisan Melayu telah bermula sejak dulu lagi dan dalam abad ke-16 telah lahir penulis-penulis agung seperti Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumatrani dengan karya-karya penulisan agung Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Bustanus Salatin, Hikayat Raja-Raja Pasai, Misa Melayu dan lain-lain lagi. Namun begitu zaman kegemilangan sastera Melayu dan Nusantara seolah-olah lenyap selepas Perang Dunia Kedua.

Kita terpaksa menerima hakikat bahawa Bahasa Melayu bukanlah bahasa global yang digunakan oleh setiap negara di dunia ini sebagai bahasa komunikasi berbanding dengan Bahasa Inggeris, menyebabkan pasaran karya-karya negara terhad kepada negara-negara seperti Brunai dan Singapura. Sudah tentu penulis-penulis kita tidak dapat mencapai kejayaan seperti J.K.Rowling dengan novel bersiri beliau Harry Potter, J.R.R.Tolkien dengan trilogy Lord of the Rings, atau penulis-penulis lain seperti Sidney Sheldon, John Grisham, Stephen King dan Frederick Forsyth

Namun begitu kita masih boleh berbangga dengan adanya penulis-penulis negara yang berbakat seperti Ramli Awang Murshid, Faisal Tehrani, Sharifah Abu Salem, Nisah Haron dan ramai lagi.

Meskipun genre cinta dan romantika mendominasi industri penerbitan tanah air, tetapi tidak bermaksud kita tidak perlu mengkaji atau mencuba genre-genre lain seperti fiksyen sains, sejarah, seram dan komedi.




Novel Cinta dan Romantika


Walaupun terdapat pelbagai jenis genre atau pengkhususan jenis cerita di dalan sesebuah karya, namun kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa novel dengan genre cinta atau romantika lebih mendominasi pasaran sama ada penerbitan tanah air mahupun seluruh dunia. Sebagai contoh, novel-novel romantika keluaran Mills & Boon telalh bertahan semenjak awal kurun ke 20 hingga kini walaupun syarikat tersebut telah bertukar tangan kepada Harlequin Enterprises.

Begitu juga dengan negara kita, novel-novel seperti ini begitu laris di pasaran. Jika anda inginkan kepastian, anda boleh ke kedai buku dan mengira jumlah-jumlah buku dengan tajuk mempunyai perkataan kasih, cinta, hati, rindu dan apa-apa perkataan yang boleh dikaitkan dengan cinta.


Nama-nama penulis Malaysia seperti Anis Ayuni, Norzailina Nordin, Salina Ibrahim dan ramai lagi sudah tentu sinonim dengan novel-novel cinta jika anda peminat novel-genre ini. Mungkin juga genre cinta ini lebih sesuai untuk media bacaan berbanding dengan genre aksi, pengembaraan, seram, fiksyen sains yang lebih banyak mendominasi dunia perfileman.







Fiksyen Sains



Usaha seperti Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi jelas menunjukkan galakan untuk menghasilkan karya dalm genre tersebut. Menurut Prof. Hisahamuddin Jamaluddin selaku Pengarah Penerbit UTM Press, gaya penulisan fiksyen sains dan teknologi yang memaparkan kisah yang mungkin wujud pada masa akan datang mampu menggalakkan rakyat Malaysia berfikiran secara saintifik, kreatif dan penuh inovasi.



Walaupun hakikatnya karya fiksyen sains ini lebih mudah dipaparkan dalam bentuk filem dengan CGI dan efek khas yang lebih mengujakan secara visual, tetapi cabaran iniboleh memberikan kesan yang mendalam sekiranya ia dapat menimbulkan kesedaran tentang kehidupan di zaman akan datang. Sebagai contoh kesan buruk teknologi jika tidak dibendung dan diberi perhatian boleh mengakibatkan kerosakan sosial di masa akan datang, dan boleh dipaparkan oleh penulis dalam bentuk karya yang menimbulkan kesedaran.


Dengan formula dan garapan yang betul, satu-satu isu yang telah selalu diperkatakan atau dikritik boleh diketengahkan dan memberi peluang untuk dilihat dari sudut berbeza. Contohnya adalah filem District 9 yang mengisahkan satu koloni makhluk asing yang terkandas di bumi 20 tahun lalu dan berkembang biak hingga kini sehingga menjadi umpama kawasan setinggan yang sesak dan kotor di sebuah kawasan di Johannesburg Afrika Selatan yang diberi nama Distric 9. Akibatnya koloni in terpaksa dipindahkan ke tempat baru dipanggil District 10. Apa yang menarik tentang cerita ini adalah kritikan sosial yang digambarkan melalui transformasi karakter bernama Wikus yang menjadi makhluk asing akibat cantuman DNA secara tidak sengaja. Apa yang ingin dipaparkan secara simbolik di dalam kisah ini adalah dasar apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan suatu masa dahulu, melalui layanan yang diberi kepada makhluk-makhluk asing tersebut. Apabila Wikus bertukar menjadi makhluk asing tersebut, dia terpaksa menghadapi apa yang dihadapi oleh mereka seperti diburu dan dizalimi. Filem ini asalnya merupakan sebuah filem pendek bertajuk Alive in Joburg arahan pengarah asalnya Neill Blomkamp.


Sejarah


Untuk menghasilkan karya dalam genre ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kajian terperinci tentang peristiwa yang telah berlaku dan digarapkan di dalam bentuk cerita yang meyakinkan. Usaha ini telah dipaparkan dalam 1515 karya Faisal Tehrani.


Walaupun bukan karya berbentuk penulisan kreatif, terdapat beberapa hasil penulisan bukan fiksyen boleh dijadikan contoh dalam usaha melahirkan novel kreatif dalam genre sejarah. Contohnya adalah Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain? yang menimbulkan persoalan sama ada Iskandar Zulkarnain dan Alexande the Great adalah orang yang sama. dan juga Ahlul-Bait (Keluarga) Rasulullah s.a.w & Kesultanan Melayu yang menyusuri susur galur keturunan kesultanan Melayu hingga ke zaman awal Islam.


Cabaran di dalam genre ini adalah amat besar kerana di samping memperkayakan pengetahuan pembaca dengan ilmu tentang sejarah, ia juga memerlukan jalan cerita yang menarik untuk bacaan.


Seram


Genre yang merupakan salah satu daripada genre paling popular dalam penulisan kreatif dunia dan sekiranya anda mengikuti perkembangan novel tulisan Barat, nama Stephen King tentu tidak asing lagi bagi anda. Novel-novel beliau seperti IT, Pet Sematary, Cujo, Salem's Lot, Carrie, dan banyak lagi telah melonjakkan nama beliau dengan jualan keseluruhannya sebanyak 300 juta naskhah.



Keistimewaan genre ini berbanding dengan genre aksi atau fiksyen sains adalah keutamaan membangkitkan suasana suspens, berdebar-debar dan ketegangan seolah-olah pembaca berada di dalam situasi yang digambarkan.


Cabaran dalam menghasilkan novel genre ini adalah mengimbangikan unsur seram yang boleh membawa kesan negatif dan menyelitkan unsur-unsur pengajaran seperti hakikat kejadian makhluk-makhluk halus yang juga merupakan makhluk Tuhan yang masing-masing memiliki kelemahan.


Jika dari perspektif perfileman, penggunaan CGI atau efek visual khas bukanlah faktor utama kejayaan karya genre ini, tetapi boleh memudahkan penonton untuk menghayati cerita dengan lebih berkesan. Namun begitu paparan rupa hantu atau makhluk yang jelas dan menakutkan mungkin kurang impaknya bagi sesetengah penonton berbanding dengan kehadiran yang disamarkan penuh misteri dan tanda tanya.


Industri filem seram di Malaysia mendapat suntikan baru apabila penapisan untuk filem genre ini telah dilonggarkan dan kita disajikan dengan pelbagai filem seram di pawagam termasuk Congkak, Jangan Pandang Belakang, Pontianak Harum Sundal Malam, Susuk dan banyak lagi.


Kebanyakan filem ini melibatkan situasi yang telah kita kita dengar atau alami dan dipersembahkan sebagai satu karya baru. Satu karya yang menarik untuk diketengahkan adalah Skrip 7707. Sekiranya anda belum menonton filem ini, sebaik-baiknya anda jangan baca tulisan seterusnya kerana akan merosakkan suspens di akhir cerita tersebut.


Skrip 7707 mengisahkan seorang penerbit yang menghadapi masalah untuk mendapatkan satu skrip filem daripada himpunan skrip yang dimilikinya. Dia telah mengadakan perjumpaan dengan 9 peserta yang bersedia untuk berkongsi kisah dengannya, tetapi hanya mengetahui di akhir cerita ini bahawa peserta-peserta ini bukanlah mereka yang sepatutnya ditemuinya. Himpunan 10 cerita dalam satu ini umpama antologi cerpen dengan satu cerita tambahan merangkumi kemelut penerbit tadi mencari satu skrip yang baru untuk filemnya.




Komedi


Walaupun ia bukan satu genre utama, tetapi genre komedi biasanya dikaitkan dengan unsur utama di dalam satu-satu karya. Contohnya sebuah cerita cinta yang dipenuhi unsur humor seperi Cikgu Romantik (1993) atau cerita seram yang dipenuhi unsur yang sama seperti Jangan Pandang Belakang Congkak.


Filem terbaru Setem adalah merupakan sebuah filem aksi yang sarat dengan unsur komedi, dengan efek visual di dalam beberapa babaknya setanding dengan Hollywood. Ia mengisahkan perebutan sekeping stem berharga RM2 juta ringgit di antara tigak pihak iaitu kumpulan dua orang anak yatim, kumpulan Ah Long dan Kumpulan Tosai, dan secara tidak sengaja melibatkan kumpulan warga Indonesia dan juga seorang buta. Filem Setem ini adalah merupakan cubaan ketiga pengarah Kabir Bhatia selepas Cinta dan Sepi



Kemampuan penulis-penulis tanahair menggarapkan pelbagai genre selain romantika adalah diharapkan dapat memancing pembaca-pembaca baru yang saban hari disogokkan dengan filem-filem yang memenuhi naluri visual tetapi kurang dari segi memberi ruang untuk membuat refleksi dan menyelami sesebuah karya itu.


No comments:

Post a Comment